SEJARAH

IPOH - Mungkin ramai daripada kita tidak perasan bahawa tanggal hari ini, 2 November yang berlaku pada 146 tahun lalu merakamkan catatan besar dalam lipatan sejarah negeri Perak.

Rakyat Negeri Perak, khususnya masyarakat Melayu wajar mengingati peristiwa Residen British di Perak, J.W.W. Birch mati dibunuh di Pasir Salak.

Penentangan terhadap syarat dalam Perjanjian Pangkor yang menghakis kuasa Sultan serta keangkuhan Birch menindas orang tempatan membangkitkan kemarahan para pembesar tempatan diketuai Datuk Maharajalela.

Datuk Maharajalela bersama Datuk Sagor, Laksamana Mohamad Amin, Pandak Indut, Ngah Ibrahim dan pengikut bermesyuarat di Durian Sebatang merangka komplot untuk membunuh Birch.

Birch mati ditikam semasa sedang mandi di atas rumah rakitnya SS Dragon yang berlabuh di Sungai Perak dekat Pasir Salak.

Justeru, sepatutnya tanggal 2 November diangkat sebagai hari memperingati perjuangan tokoh-tokoh pahlawan Melayu Perak menentang pentadbiran kolonial.

Pembunuhan Birch berlaku pada Aidilfitri kedua.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli berkata, peristiwa pembunuhan Birch yang berlaku pada pagi 2 November 1875 iaitu 146 tahun lalu semakin dilupakan.

Kata beliau, rentetan daripada pembunuhan Birch dan penentangan orang-orang Melayu itu juga telah mengubah landskap politik dan pemerintahan negeri Perak.

Ia adalah sebahagian daripada sejarah besar negeri ini yang perlu disebar luas dan difahami semua peringkat usia.

"Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor adalah nama yang biasa disebut generasi muda tapi ramai yang kurang pasti apa sejarah berkaitan kedua-dua tokoh.

"Misalnya di Ipoh ada Medan Selera Datuk Sagor yang ironinya terletak berhadapan dengan Menara Jam Birch.

"Menara jam itu pula dibina semasa era kolonial bagi mengenang peristiwa kematian Residen British itu," ujarnya.

Sebab itu kata Nor Hisham, penting peristiwa pembunuhan Birch ini diangkat supaya intipati kejadian ini diketahui bagi memperingati perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu

"British menawarkan hadiah lumayan kepada sesiapa yang dapat menangkap Datuk Maharajalela iaitu habuan bernilai RM6,000, Datuk Sagor (RM3,000) dan Pandat Endut (RM3,000).

"Apa yang menyedihkan, pihak British melabelkan ketiga-tiga tokoh pejuang itu sebagai penjahat," ujarnya.

Sejarah kebangkitan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu ini diabadikan di Kompleks Sejarah Pasir Salak di Kampung Gajah sebagai satu memorial penting sejarah terbilang Perak.

Kompleks ini telah dibuka oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 dan dirasmikan sepenuhnya oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 5 Julai 2004.

Bagaimana pun, kompleks berkenaan pada hari ini masih ditutup berikutan pandemik Covid-19 dan difahamkan akan dibuka sedikit masa lagi.