Mural terpanjang di Malaysia, kumpul dana Palestin
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 1046
IPOH- Lukisan mural sepanjang 24.38 meter mencuri perhatian pengunjung di Karnival Palestin yang membawa tema ‘Antara Perjuangan & Air Mata’.
Sebanyak 20 buah mural dipamirkan dan setiap satunya berukuran 1.22 meter x 2.44 meter. Ia dihasilkan oleh 10 orang pelukis tempatan yang berbakat besar.
Menurut Pengerusi Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat Perak), Amiruddin Mohd Daud atau lebih dikenali sebagai Tok Anjang berkata, peminat-peminat seni mural berpeluang membeli hasil karya yang dipamirkan.
“Kami menawarkan harga seunit mural bermula RM800.00, namun harganya masih boleh dirunding. Hasil jualan itu akan disumbangkan sebanyak 60 peratus kepada Tabung Aman Palestin.
“Ini merupakan tanda sokongan kami kepada rakyat Palestin yang selama ini hidup dalam kesengsaraan dibawah penjajah Zionis, “ katanya pada Majlis Pelancaran Karnival Palestin yang berlansung selama enam hari bermula 2 hingga 7 November 2021 di Spacepark, Tingkat 2, Angsana Mall, Ipoh.
Program anjuran Jabat Perak, Aman Palestin, Ansana Mall dan Spacepark ini selain mengetengahkan pameran mural terpanjang di Malaysia ini, turut diadakan kempen derma darah, pertujukan BMX, jualan amal Aman Palestin, pameran dan jualan ikan Betta dan pameran agensi kerajaan.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 5, Datuk Azizul Kama Abd Aziz berkata penganjuran karnival ini bukan sahaja dapat mengumpulkan dana kepada rakyat Palestin tetapi mampu mengetengahkan bakat baru seni mural yang berpotensi.
“Saya berharap warga Perak khasnya dapat meluangkan masa untuk menyaksikan lukisan seni mural yang bukan sahaja mempunyai nilai seni yang tinggi, malah menyampaikan masej kemanusiaan sejagat terhadap perjuangan dan sokongan kepada negara Palestin,” katanya yang turut bersetuju membeli sebuah mural hasil karya pelukis termuda, Nur Hakimi Azin, 16, dari Ipoh.
Majlis juga turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 35 orang dari wakil keluarga B40. Sumbangan berupa barangan makanan itu ditaja oleh pasaraya Econsave dan Aman Palestin.