Bayi 14 hari, maut kemalangan Kancil dengan lori tanah
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 765
MANJUNG - Satu kemalangan antara sebuah kereta Perodua Kancil dengan lori tanah di Jalan Kampung Gelung Gajah, Bakar Batar dekat Ayer Tawar di sini pagi tadi menyebabkan seorang bayi berusia 14 hari meninggal dunia.
Dalam kejadian berkenaan, kereta Perodua Kancil itu dinaiki enam sekeluarga termasuk bayi berkenaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.24 pagi.
Menurut kenyataan tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah lori tanah melanggar Perodua Kancil.
'Terdapat tujuh mangsa iaitu pemandu dan penumpang hadapan kereta, seorang perempuan dewasa dan dua kanak-kanak yang juga penumpang belakang kereta manakala bayi berusia 14 hari meninggal dunia.
"Turut tersepit ialah pemandu lori tanah," ujar kenyataan itu.
Komander operasi mengarahkan tindakan mengeluarkan mangsa-mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas.
Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Seri Manjung dengan ambulans manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai PBK II Suhaimi Nijar tamat sepenuhnya pada pukul 7.58 pagi.
Di Kuala Kangsar, sebahagian daripada ruang pejabat blok pentadbiran Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini terbakar dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.
Pihak bomba memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.44 pagi.
Menurut jurucakap jabatan tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setiba di tempat kejadian, pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan tingkat atas blok pentadbiran MCKK iaitu tiga bilik yang musnah kira-kira 30 peratus.
"Komander operasi kemudian mengarahkan anggota melakukan pemadaman menggunakan satu aliran air sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya," ujar jurucakap tersebut.
Operasi yang diketuai Ketua BBP Kuala Kangsar, PKPgB Ahmad Izuwan Zakaria tamat sepenuhnya pada pukul 6.12 pagi.
Punca kebakaran serta nilai kerosakan sedang disiasat.