Pafa dakwa Kopa Arena gagal kemuka bukti kewangan
- Details
- Rubiah Nordin
- Komuniti
- Hits: 1006
KUALA LUMPUR - Kami hanya akan menjual saham Perak FC kepada individu atau syarikat berkemampuan saja.
Itu penjelasan Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) Datuk Muhammad Yadzan Mohammad terhadap dakwaan yang mengatakan beliau antara individu yang menyebabkan perbincangan penjualan saham Perak FC bersama Kopa Arena menemui jalan buntu.
Yadzan menjelaskan bahawa Kopa Arena tidak pernah membentangkan struktur kewangan yang kukuh dalam usaha untuk mengambil alih kira-kira 51 peratus saham kelab itu.
Beliau berkata, permintaan 'token' yang dimaksudkan oleh Kopa Arena pula adalah lebih kepada dana pembangunan bola sepak negeri dan pembayaran pengurusan persatuan.
Katanya, PAFA bersedia untuk lepaskan pegangan saham membabitkan kelab terbabit namun perlu terlebih dahulu melihat prestasi individu atau syarikat berkenaan.
"PAFA tidak pernah minta bulan dan bintang dan bercakap mengenai token tambahan itu semua adalah merepek. Saya cuma minta untuk pembangunan dan pengurusan saja.
"Selain itu, perlu ada bukti kukuh sumber kewangan bila jumpa saya pergi juga jumpa syarikat kerajaan negeri (GLC) dan kerajaan negeri untuk minta tanah.
"Kalau betul nak ambil Perak perlu beri dana untuk pembangunan PAFA…… Kalau tak jadi beli diam siapa dia nak cari salah orang lain," katanya.
Mengikut rekod, Perak FC masih lagi gagal mencari pembeli sekali gus saham kelab berkenaan dengan terkini 100 peratus masih lagi dipegang oleh PAFA.
Mengikut syarat pelesenan kelab dan penswastaan penuh, PAFA perlu menyerahkan sekurang 50 peratus pemilikan kelab itu bagi musim 2022 manakala 100 peratus menjelas 2023.
Namun, usaha menjual saham Perak FC dilihat agak terbantut apabila terbaharu menerusi kenyataan dikeluarkan calon pembeli kelab terbabit iaitu Kopa Arena boleh dikatakan sudah menekan 'brek' untuk meneruskan perbincangan pembelian itu.
Pengurus Besar Kopa Arena Farouk Hashim menegaskan terdapat 'cadangan tambahan' yang diberikan oleh pengurusan pasukan dan perkara itu menyebabkan proses pembelian tergendala seketika. - sumber Arena Metro