Keluarga terperangkap banjir, berjaya dipindahkan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 658
TELUK INTAN - Satu keluarga yang kediaman mereka dinaiki air akibat limpahan banjir di Lorong Kedah, Kampung Changkat Jong berjaya diselamatkan dengan bantuan pihak bomba, di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.02 pagi.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan dihantar ke tempat kejadian bagi membantu keluarga berkenaan.
"Setibanya bomba di kawasan tersebut didapati banjir kilat berlaku dengan air sedalam 0.4 meter.
"Terdapat sebuah rumah dihuni lapan mangsa iaitu tiga lelaki dan lima perempuan yang mohon untuk dipindahkan," ujar jurucakap tersebut.
Kesemua mangsa dipindahkan ke Dewan Changkat Jong menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan paras air yang meningkat.
Operasi yang diketuai PBK II Ahmad Termizi Abas tamat sepenuhnya pada pukul 2.20 pagi.