IPOH - Usaha untuk membantu pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga B40 di negeri Perak diteruskan pihak Infrastructure University Kuala   Lumpur (IUKL) apabila seramai 1,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dipilih mengikuti sesi bimbingan menerusi Program ‘Empower NCER-Akademik’.

IUKL diberi kepercayaan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk melaksanakan program tersebut bagi menggilap kecemerlangan akademik para pelajar.

Presiden dan Naib Canselor (IUKL), Profesor Datuk Dr. Noor Inayah Ya’akub memberitahu, ini merupakan sesi kedua selepas kejayaan program pertama sebelum ini melibatkan 300 calon SPM 2020 dari enam sekolah terpilih dalam daerah Kerian dan daerah Larut Matang Selama.

Menurut beliau, sesi kedua pula melibatkan para pelajar lima buah daerah iaitu Kerian, Larut Matang Selama, Manjung, Perak Tengah dan Bagan Datuk.

“Selain menyediakan portal pembelajaran lengkap ‘iLearn Ace’ kepada para guru dan pelajar, IUKL turut membekalkan tablet untuk setiap pelajar dan pelantar khas untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian iaitu Moodle.

“Program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia ini berjaya membantu pelajar daripada keluarga B40 meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM lepas,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Program ‘Empower NCER-Akademik’ berjaya membantu sekolah-sekolah dan guru-guru menambah baik kaedah pembelajaran dan pengajaran dengan memberi latihan kepada para pendidik serta kemudahan penggunaan portal dalam talian, iLearn Ace.

Pada sesi lepas, kira-kira 92 peratus pesertanya lulus keseluruhan dengan 89 peratus peningkatan dalam Gred Purata Murid manakala seramai 26 orang pula berjaya memperolehi keputusan 5A ke atas.

Ada antara mereka mendapat tempat di institusi terkenal seperti Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Terengganu, pusat-pusat matrikulasi, politeknik selain turut ditawarkan menyambung pengajian pada peringkat diploma di IUKL.

Jelas Noor Inayah, keputusan itu sangat memberangsangkan walaupun dalam keadaan pelajar

berdepan cabaran mengharungi PdPR semasa pandemik selain keberkesanan bimbingan para guru.

“Selain itu, 54 peratus daripada  jumlah pelajar ini telah mendapat tempat untuk menyambung pelajaran mereka sama ada pada peringkat asasi, diploma, sijil dan tingkatan 6.

“IUKL amat berbesar hati dapat sama-sama menyumbang tenaga serta berkongsi kepakaran, teknologi dan khidmat nasihat bagi membantu pihak sekolah umumnya dan khususnya para pelajar yang digelar sebagai ProMax ini sehingga ramai yang berjaya dalam peperiksaan SPM 2020,” ujarnya.