Kampung Talang Hulu, Johan Komuniti Zon Hijau Covid-19 Negeri Perak
- Details
- Rubiah Nordin
- Komuniti
- Hits: 809
PUTRAJAYA - Kampung Talang Hulu dari Daerah Kuala Kangsar dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 Kategori Luar Bandar (Kampung Tradisional) bagi negeri Perak, baru-baru ini.
Hadiah telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori dalam Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana.
Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad.
Pertandingan yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu merupakan antara pengisian Program Pemerkasaan Komuniti Agent Rasmi COVID-19 atau ABC-19 yang bermula sejak 1 April 2021 lalu.
Sebanyak 82 buah kampung bagi Kategori Luar Bandar yang terdiri daripada Kampung Tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang manakala menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 18 buah bandar bagi Kategori Pengurusan Strata telah menyertai pertandingan ini.
Tujuan pertandingan tersebut diadakan adalah untuk membudayakan amalan norma baharu di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar khususnya sebagai salah satu strategi dalam membendung seterusnya memutuskan penularan pandemik COVID-19.
Selain itu, ia juga merupakan strategi dalam memperkasakan peranan institusi pentadbiran peringkat bandar dan luar bandar dalam menyampaikan mesej secara berterusan dan menerap penghayatan masyarakat untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti.
Melalui pertandingan itu, ia mampu mewujudkan jalinan kerjasama yang erat antara komuniti dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk melaksanakan program Pemerkasaan Komuniti dalam usaha menjadikan kawasan bandar dan luar bandar sebagai Zon Hijau COVID-19.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 29 pemenang dari seluruh negara telah dipilih dan kampung atau komuniti terbaik akan menerima hadiah berbentuk peruntukan pembangunan sebanyak RM50,000.