Jalan Sumpitan ditutup akibat tanah runtuh
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 771
IPOH - Hujan lebat berterusan sehingga berlaku tanah runtuh menyebabkan Jalan Sumpitan - Ijok terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan bagi kerja-kerja pembersihan.
Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam (Intap) memberitahu, kejadian ini hanya 30 kilometer (km) dari kejadian yang sama di Kubu Gajah.
"Keadaan semasa kini agak membimbangkan dan laluan tersebut telah ditutup sepenuhnya memandangkan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih cerun masih sedang dijalankan.
"Syarikat Empayar Indera Sdn Bhd selaku konsesi JKR Negeri Perak dilantik bagi memastikan jalan ini benar-benar selamat dan boleh dilalui oleh pengguna," ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, peruntukan tambahan kecemasan akan dimohon segera memandangkan jalan ini adalah jalan di bawah pengurusan negeri Perak.
Bagaimana pun, masih belum diketahui tempoh yang diperlukan bagi menyiapkan semula jalan ini.
Berhubung kejadian tanah runtuh di jalan Kubu Gajah – Sumpitan, pihak JKR masih memantau dan kerja-kerja pengurusan trafik telah dijalankan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Ketika ini jalan masih dibuka selorong bagi kenderaan ringan sahaja.