KUALA LUMPUR - Seramai sembilan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ) berlepas ke Tanah Suci Mekah hari ini, bagi melaksanakan pemeriksaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Setiausaha PUHAZ, Abdul Jabbar Mohammed Kahar berkata, lawatan ini sempena pengumuman pembukaan pintu masuk ke negara tersebut untuk ibadah umrah selepas ditutup dalam tempoh lama akibat pandemik Covid-19.

"Puhaz akan mengadakan lawatan dan  pemeriksaan terhadap 20 hotel bertaraf lima bintang termasuk hotel tiga dan empat bintang di Mekah dan Madinah.

"Kita ingin melihat secara terperinci bagaimana dan apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan pihak hotel terhadap perlaksanaan SOP bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat diitangani dengan baik.

"Kami juga ingin mengetahui keberkesanan serta fungsi aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna kepada jemaah yang datang mengerjakan umrah," katanya sewaktu ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Rombongan diketuai oleh Presiden PUHAZ, Mohamad Ali Sabri serta Timbalan Presiden, Mohamad Jamaluddin.

Sebelum itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut mengumumkan rancangan untuk melancarkan satu mekanisme baru bagi mengeluarkan visa umrah sekali sahaja secara atas talian.

Kementerian itu juga mengesahkan kesediaannya untuk menerima seramai mungkin jemaah umrah mengikut kuota yang dipersetujui dengan beberapa negara Islam sebelum penularan pandemik COVID-19.

Menurut Abdul Jabbar, PUHAZ memandang serius dan bertangungjawab akan keselamatan para jemaah di bawah kelolaan agensi pelancongan berdaftar dibawahnya.

"Puhaz bertangungjawab memberi pencerahan secara telus kepada semua jemaah di bawah kelolaan kami agar mereka yakin dan keselamatan mereka terjamin sepanjang mengerjakan ibadah di Tanah Suci," ujarnya.