IPOH - Bandaraya Ipoh bakal dibangunkan sebagai kluster pelancongan yang menglibatkan empat buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan & Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 telah meletakkan Bandaraya Ipoh sebagai ibu negeri Perak dan Pusat Wilayah Negeri yang bukan sahaja berfungsi sebagai Pusat Pentadbiran Negeri, tetapi juga dibangunkan menjadi sebuah bandaraya pelancongan bertaraf dunia.

“Bagi tujuan itu, Ipoh akan dibangunkan sebagai kluster pelancongan yang berdaya saing, inklusif dan mampan melalui pendekatan penjenamaan destinasi yang menggabungkan sumber pelancongan sedia ada di bawah gabungan empat PBT tersebut.

“Gabungan ini akan dikenali sebagai Wilayah Pelancongan Greater Ipoh.

“Sudah tentu antara tarikan di Ipoh ini adalah makanan yang pelbagai variasi, citarasa dan budaya.

“Kewujudan banyak kedai-kedai lama, hotel butik, seni lukisan mural, seni jalanan dan pasar barangan antik telah menjadikan Ipoh unik dan berbeza dari bandar-bandar lain.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Penggantian) serta melancarkan Pelan Tindakan & Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh di Casuarina@Meru Hotel Ipoh, pada Isnin.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Plan Malaysia, Datuk Mohd Faidzal Hamzah dan Pengarah Plan Malaysia Perak, Asni Mustafa.

Nolee Ashilin berkata, konsep kafe hipster antara yang menjadi tumpuan dan tarikan para pelancong terutama golongan muda untuk berkunjung ke sini.

Selain itu, terdapat produk pelancongan yang terkenal malah diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti rendang tok mak nik, kacang putih, Old Town White Coffee, limau bali, ayam garam dan sebagainya.

Rancangan Tempatan (RT) ini disediakan selaras dengan peruntukan Subseksyen 18(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) bagi menggantikan RT sedia ada yang mana ianya merupakan satu dokumen perancangan guna tanah dan fizikal yang mengandungi peta cadangan guna tanah dan pernyataan bertulis disokong dengan pelan subjek sektoral dan garis panduan pembangunan.