TAIPING -  Bantuan bomba terpaksa dipanggil bagi membawa keluar mayat seorang lelaki yang lemas di kawasan air terjun dekat kaki Bukit Larut di sini petang tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan bantuan tersebut pada pukul 3.09 petang.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dihantar ke lokasi kejadian dilaporkan berlaku.

"Setiba di lokasi, kita mendapati seorang lelaki berusia dalam lingkungan 34 tahun telah maut di tempat kejadian.

"Mangsa dipercayai berseorangan semasa kejadian," ujar jurucakap tersebut.

Komander operasi kemudian mengarahkan anggota mengambil mangsa menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai oleh PBK II Shah Izuwan itu tamat sepenuhnya pada pukul 6.05 petang.