IPOH - Pemecatan 12 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang diumumkan pada Selasa adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan persatuan.

Seorang ahli gabungan, Tajul Hasnan Omar mendakwa pemecatan yang diumumkan Pemangku Presiden PAFA Datuk Muhammad Yadzan Mohammad itu juga tidak sah kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Kami 12 ahli gabungan agak terkejut dengan pengumuman pemecatan yang dibuat tanpa mengikut prosedur persatuan malah tiada surat hitam putih rasmi dimaklumkan berkaitan alasan pemecatan.

“Muhammad Yadzan juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat pemecatan kerana beliau hanya berkuasa untuk memanggil atau mengadakan mesyuarat,” katanya yang mewakili ‘Kumpulan 12’ itu pada sidang media di sini pada Rabu.

Semalam, Muhammad Yadzan pada sidang akhbarnya mengumumkan pemecatan ahli gabungan PAFA dan mendakwa kumpulan itu merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat.

Dakwanya, pemecatan itu berikutan pelanggaran Artikel 80 Perlembagaan PAFA mengenai keahlian yang menyatakan tiada ahli gabungan yang boleh menjadi ahli dua persatuan memandangkan sebelum ini 12 daripada 18 ahli mendesak mengadakan kongres luar biasa.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Tajul Hasnan yang juga Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian berkata majoriti ahli gabungan meminta diadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi mengisi kekosongan jawatan presiden dan timbalannya yang dikosongkan sejak Januari tahun ini.

“Kita rasa ia patut diisi. Kita tiada niat menggantikan sesiapa. Malah kami masih ahli sah persatuan mengikut Artikel 12 kerana mewakili persatuan bola sepak daerah masing-masing. Kalau ingin pecat, kena ubah perkara ini dalam perlembagaan,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan seterusnya, beliau berkata pihaknya akan memaklumkan hasrat mereka untuk mengadakan AGM dalam masa terdekat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ahli gabungan PAFA yang lain bagi menyelesaikan isu kekosongan jawatan tersebut secepat mungkin.

— BERNAMA