BAGAN DATUK – Bomba menghentikan operasi mencari seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di perairan Sungai Hutan Melintang di sini petang semalam.

Memasuki hari keenam pencarian, mangsa masih gagal ditemui selain tiada petunjuk di sekitar kawasan pencarian.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, operasi pencarian mangsa meliputi kawasan di sepanjang Sungai Bernam, Sungai Hutan Melintang sehingga ke muara Bagan Datuk.

Menurut jurucakap itu, operasi dibantu pegawai dan anggota dari JBPM negeri Selangor diketuai Ketua BBP Sabak Bernam berikutan kawasan pencarian diperluaskan.

"Berdasarkan perbincangan bersama agensi lain, pihak polis yang merupakan komander operasi memutuskan gerakan mencari mangsa ditamatkan.

"Keseluruhannya operasi melibatkan lebih 30 anggota pelbagai agensi termasuk polis yang dilakukan secara penggiliran," ujar jurucakap tersebut.

Keputusan untuk menghentikan operasi diambil hasil daripada perbincangan dan persetujuan ahli keluarga mangsa.

Identiti mangsa yang dikenali sebagai Ramasamy Muthusamy, 63 tahun dikatakan hilang sejak Jumaat lalu.