IPOH - Penduduk Flat Ashby Road di sini pagi tadi dikejutkan dengan kejadian tragis seorang lelaki mati dipercayai setelah terbabit dalam satu pergaduhan di hadapan warung pasar pagi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, disahkan maut di lokasi kejadian.

Kejadian itu mengejutkan penduduk setempat kerana mangsa merupakan penghuni di situ dan dikenali ramai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita tentang pergaduhan itu kira-kira pukul 9.50 pagi.

Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku mangsa didakwa mencuri pembesar suara mudah alih di warung milik salah seorang suspek.

"Mangsa yang berada ditempat kejadian dikatakan memasang speaker milik suspek dengan kuat sehinggalah berlaku pergaduhan.

"Dia dikatakan telah bergelut dengan tiga lelaki sebelum salah seorang memaut lehernya. Mangsa juga dikatakan kurang siuman," katanya.

Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod lampau pelbagai kes jenayah termasuk berkaitan dadah.

"Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa terdapat luka kecil pada dahi kanan dan pergelangan tangan kiri.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Susulan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 60, 47 dan 34 tahun dilokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.