IPOH - Tourism Perak kini giat mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan bermotosikal sekaligus dapat meletakkan negeri ini sebagai pilihan para riders.

Program Perak Tour misalnya membabitkan kira-kira 26 buah motosikal berkuasa tinggi yang akan berkonvoi mengelilingi sembilan daerah utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, program berkenaan adalah bersempena dengan Kempen Pelancongan Perak #TravelPerakLah” dan Kempen Keselamatan Menunggang Motosikal.

Menurut beliau, ia melibatkan kelab motosikal Rawyell Riders.

"Program ini juga mendapat kerjasama daripada kelab motosikal dari Kuala Lumpur iaitu Throttle Riot dan pengembaraan ini ditaja oleh Petron sebagai penaja rasmi bahan api.

"Laluan pengembaraan Perak Tour akan merentas ke sembilan daerah awal di Perak dan berhenti rehat di beberapa hentian yang mempunyai daya tarikan pelancongan," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum melepaskan para peserta di pekarangan Sunway Lost World Of Tambun (SLWOT) di sini.

Hadir sama Pengerus Besar SLWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azahar.

Sepanjang pengembaraan konvoi, peserta juga akan beramah mesra bersama masyarakat setempat dan mengedarkan risalah keselamatan menunggang motosikal.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Permotoran Rawyel Ipoh Perak, Muhammad Yusoff Muhammad Noor berkata, pogram ini menerima penajaan daripada usahawan tempatan seperti Miker Pizza, Rockabilly Barber, Jogentor, Mr.Ji Mall dan Konda Kondi.

Turut menaja ialah Oi Garage, Printhink, Glamping Sumpitan, Café Villa Tok Janggut dan Guan How Superbike.

"Selain itu, penghargaan yang tidak terhingga kepada Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Mazlan Abdul Rahman yang turut memberikan sumbangan individu beliau.

"Kesemua peserta akan bermalam di Sumpitan Glamping manakala program akan berakhir di Town Hall lpoh," ujarnya.