IPOH - Negeri Perak diberi jaminan akan mendapat pampasan daripada Kerajaan Persekutuan kerana pengurusan hutan yang baik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun nilai pampasan itu belum diputuskan.

“Kerajaan negeri tidak akan menuntut nilai pampasan yang tidak munasabah bagi pengurusan hutan di negeri ini dan ia begantung kepada kemampuan dan pesetujuan kerajaan Persekutuan.

“Tetapi Perdana Menteri telah memberi jaminan dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar pampasan kepada mana-mana kerajaan negeri yang menguruskan hutan di negerinya dengan baik.

“Oleh kerana itu, negeri tersebut terlepas peluang menjana pendapatan, iaitu tidak boleh menebang balak, melakukan aktiviti kuari, perlombongan kerana hendak menjaga hutan simpan," katanya.

Jelas beliau, dalam usaha mengekalkan kawasan berhutan, Negeri Perak  sanggup mengabaikan peluang dalam menjana hasil negeri melalui eksplorasi hasil hutan dan sumber mineral.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak : Penanaman Pokok Ke-2 juta, di Kompleks Latihan Perhutanan Sungai Siput (U), di sini, pada Ahad.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Sementara itu, Saarani berkata, Kerajaan Persekutuan telah menetapkan 100 juta pokok ditanam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun dan Kerajaan Perak telah bersetuju untuk menanam 10 juta pokok bagi tempoh yang ditetapkan itu.

“Tiap-tiap tahun kita akan menanam 2,000,000 pokok, maka dalam tempoh lima tahun, kita akan berjaya menanam 10 juta pokok.

“Hari ini untuk tahun 2021 , genaplah pokok ke 2,000,000 yang ditanam atau mungkin lebih lagi kerana yang tidak didaftarkan mungkin lebih daripada itu,” katanya lagi.

Menurut beliau, tujuan penanaman pokok-pokok ini adalah sebagai komitmen kelestarian alam semula jadi untuk generasi akan datang.

Tambahnya, ini supaya tidak berlaku penggondolan hutan hingga mengakibatkan ketidakseimbangan dalam ekosistem alam semula jadi yang mungkin akan menyebabkan banjir dan tanah runtuh dan ia adalah diantara keperluan oksigen kepada manusia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan cadangan 1,749.12 hektar di seluruh perak untuk diwartakan sebagai hutan simpan.

Kata beliau, kelulusan itu termasuklah untuk tanaman paya bakau di Bagan Datuk dengan keluasan 139.21 hektar, yang diluluskan pada 15 September lalu.

“MMKN telah memberikan kelulusan di Bagan Datuk, bagi kawasan Perak Selatan iaitu untuk tanaman bakau, paya laut yang sudah diputuskan oleh Kerajaan Negeri dan selebihnya di Manjung, Larut Matang dan Kinta,” ujarnya.