IPOH - Seramai 176 penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak dan 79 pegawai pemantau harga telah ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan harian di setiap rantaian pengedaran melibatkan pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negeri ini.

Hasil pemeriksaan mendapati berlaku peningkatan harga pada barangan keperluan pengguna seperti sayur-sayuran antaranya kubis bunga, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau serta ayam dan telur.

Pengarah KPDNHEP negeri Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pemantauan mendapati kenaikan harga tersebut dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti peningkatan kos pengeluaran, keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran.

“KPDNHEP negeri Perak mengambil perhatian mengenai keresahan rakyat baru-baru ini berhubung kenaikan harga barangan keperluan asas seperti sayur-sayuran, ayam dan telur di pasaran yang memberi kesan kepada kos sara hidup.

“Sehingga 28 November lalu, kita telah mengeluarkan sebanyak 57 Notis Pengesanan Maklumat Barangan dan 136 Surat Pemberitahuan Semakan Harga Barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada peniaga barangan keperluan yang disyaki mencatut,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

KPDNHEP boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) di bawah AKHAP 2011.

Tambah Saifullizam, peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011 iaitu sehingga RM500,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Bagi memberi pilihan kepada pengguna ketika berbelanja, rakyat di negeri Perak disarankan supaya menggunakan aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh Kementerian secara percuma.

“Aplikasi ini berupaya memberi pilihan yang lebih meluas kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan kerana meliputi perkongsian harga lebih 400 barangan keperluan di seluruh negara,” ujarnya.