IPOH - Seramai 19 anggota bawah naungan Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd) mengikuti Kursus Cepat Baca al-Quran (CBQ) peringkat 2 Bgd Siri 2/2021 bertempat di Surau Al-Faizin, MK 2 Bgd baru-baru ini.

Markas Briged Kedua Infantri Malaysia dalam paparan pada laman Facebook rasmi Tentera Darat memberitahu, kursus berkenaan bermula 22 hingga 26 November lalu.

Menurut kenyataan itu, kursus CBQ ini bertujuan memberi pengetahuan asas tentang huruf-huruf dan bacaan yang betul, mendedahkan anggota tentang kepentingan Al-Quran dalam kehidupan serta menanam nilai-nilai cintakan Al-Quran.

“Majlis penutup dan penyampaian sijil kursus disempurnakan oleh Panglima 2 Bgd, Brig Jen Mohd Azmurin Mat Khalib.

“Pelaksanaan kursus ini bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menekankan pengukuhan kerohanian dan akhlak,” ujar kenyataan tersebut.

Turut hadir, Ketua Staf Markas 2 Bgd, Lt Kol Ku Syairi Ahmad.