IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memudahkan urusan warga bandar ini untuk membuat tempahan fasiliti apabila memperkenalkan EzBooking bagi menggantikan sistem lama eDewan.

Kemudahan fasiliti MBI ini seperti dewan, padang dan juga Kompleks Sukan.

Majlis pelancarannya disempurnakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin semalam.

Ia turut dihadiri Ahli Majlis, Kaunselor Datuk Mazlan Abdul Rahman yang juga Ketua WHIP Ahli Majlis MBI; Kaunselor Ahmad Munir Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.

Menurut Rumaizi, sistem ini dapat memudahkan urusan warga kota Ipoh untuk melaksanakan pembayaran melalui atas talian tanpa perlu hadir ke mana-mana kaunter MBI apabila menggunakan kemudahan fasiliti tersebut

Katanya, pengguna hanya perlu mendaftar akaun menggunakan kad pengenalan serta memasukkan maklumat seperti alamat rumah, emel dan nombor telefon dan seterusnya boleh memilih kemudahan fasiliti Majlis yang disediakan.

"Sistem yang ringkas dan mudah difahami ini dapat menjimatkan masa pengguna untuk menempah fasiliti yang ingin digunakan dan melaksanakan pembayaran terlebih dahulu sebelum menggunakan fasiliti yang telah ditempah.

"Selain itu, pengguna juga akan menerima notifikasi melalui emel setelah tempahan dan bayaran dilaksanakan. Sistem ini juga turut mempunyai permohonan tuntutan cagaran secara atas talian setelah menggunakan fasiliti MBI," ujarnya.

Aplikasi sistem EzBooking MBI ini dapat meningkatkan mutu perkhidmatan MBI kepada warga kota Ipoh sejajar dengan keperluan teknologi semasa bagi mencapat hasrat Komuniti Digital menjelang tahun 2025.