IPOH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kenderaan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 39 Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands di sini ditamatkan petang tadi.

Ini setelah pasukan penyelamat yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak mendapati tiada lagi tanda-tanda mangsa lain.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri Perak, PgKB II Muhamad Shahrizal Aris berkata, operasi SAR pada hari kedua diteruskan dengan bantuan anjing pengesan K9 bomba.

"Operasi penyelamatan diteruskan dengan bantuan unit K9 bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertinggal di dalam tanah runtuhan tersebut.

"Setelah berpuasa hati dengan perkembangan operasi hari ini maka gerakan SAR telah ditutup pada pukul 6 petang tadi," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi SAR yang dijalankan sejak semalam melibatkan seramai 143 anggota pelbagai agensi seperti bomba, unit STORM, unit SMART, Angkatan Pertahanan Awam dan polis.

Turut membantu kakitangan Jabatan Kerja Raya serta tiga buah jengkaut.

Dalam kejadian runtuhan pada pukul 1.30 petang semalam, dua kenderaan tertimbus iaitu sebuah lori sayur dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

Mayat pemandu Toyota Alphard yang dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, ditemui pada pukul 9.54 malam sebelum dibawa keluar.

Mangsa kedua, pemandu lori sayur, Muhamad Hafiz Hamdi, 31, pula ditemui pasukan penyelamat pada pukul 10.46 malam.