IPOH - Sebanyak 19 kedai makan, restoran dan terak makanan yang terletak di Lembah Kuala Kangsar telah diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak.

Pemeriksaan itu dilakukan menerusi Ops Menu yang memfokuskan pada penandaan tanda harga dan penggunaan alat timbang yang telah ditentusahkan agar pengguna jelas dengan pilihan harga makanan yang ditawarkan oleh peniaga.

Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri Perak, Dottie Azlina Ismail berkata, seramai 19 anggota penguat kuasa dari KPDNHEP Ipoh, Kuala Kangsar dan Gerik telah melakukan pemeriksaan tersebut.

"Pemeriksaan ini telah menghasilkan tiga tindakan kes iaitu dua kes dibawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 dan satu kes dibawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Ops Menu yang dilaksanakan sejak 6 November lalu memberi tumpuan kepada restoran dengan memeriksa tanda harga yang dipamerkan adakah sama dengan makanan yang dijual.

"Juga pemeriksaan ke atas restoran yang menggunakan alat timbang bagi menentukan harga setiap makanan yang dibeli terutama makanan yang berasaskan hasil laut," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Adalah menjadi satu kesalahan ke atas peniaga jika menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

Sehingga 3 Disember, sebanyak 287 pemeriksaan Ops Menu telah dilakukan di seluruh Perak.

Daripada jumlah itu lapan kes telah diambil tindakan iaitu lima kes di bawah ATS 1972 dan lapan mengikut AKHAP 2011 dengan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM2,200.

Menurut Dottie Azlina, mana-mana peniaga yang dikesan melakukan kesalahan mencatut mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011 boleh didenda sehingga RM500,000 bagi syarikat.

"Bagi individu pula, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.