PASIR SALAK - Seorang pemandu cedera parah setelah terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di hadapan Stesen Petronas Sungai Ranggam dekat Kampung Gajah di sini petang tadi.

Kemalangan berlaku setelah kereta Proton Perdana yang dipandu mangsa bertembung secara berhadapan dengan treler tersebut.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.45 petang.

Menurut beliau, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik bomba tiba, kemalangan melibatkan kereta Proton Perdana bertembung hadapan dengan lori treler.

"Pemandu kereta berusia 30an itu tersepit pada tempat duduk hadapan manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan," ujar jurucakap tersebut.

Komander operasi kemudian mengarahkan anggota melakukan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai oleh PBK II Tajul Arif Ahmad itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.06 petang.