IPOH – Sebuah lagi sekolah berasrama dikesan merekodkan kes pelajarnya dijangkiti Covid-19 menjadikan sebagai sebagai kes kedua selepas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar.

Kes terbaharu ini melibatkan pelajar sebuah sekolah agama di Jalan Selekoh, Bagan Datuk, yang difahamkan daripada kluster Batu 20 Selekoh dengan dua kes baharu setakat semalam.

Difahamkan sebanyak 12 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di sekolah agama itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah sebenar pelajar yangd dijangkiti bagaimana pun tidak didedahkan.

“Memang ada berlaku jangkitan kepada pelajar sekolah, terutama sekali berasrama penuh. Tetapi mereka yang dijangkiti itu sudah diasingkan atau dikuarantin di asrama berasingan, sekali gus jangkitan tidak menular ke luar.

“Jadi, di Perak tiada sekolah ditutup setakat ini. Sekolah yang terbabit masih dibuka, tetapi pelajar yang berkenaan dikuarantin di asrama berasingan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di Hotel Casuarina, Meru di Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani memberitahu, pihaknya belum mendapat angka rasmi jangkitan Covid-19 membabitkan sekolah setakat ini kerana ada sekolah yang tidak berada di bawah penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan (KPM).

“Jadi, ada dua sumber berbeza yang kita kena dapatkan, walaupun setakat ini saya fikir tiada masalah besar berkaitan penularan jangkitan kerana masing-masing menjalani kuarantin di asrama masing-masing,” ujar beliau.