PULAU PINANG - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya memenangi tempat Ke-Sembilan dalam Pertandingan Piala Inovasi YB Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia dengan membawa pulang Geran KPKT bernilai RM25,000 berserta sijil dan piala.

Pada majlis tersebut, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak, mewakili Datuk Bandar Ipoh menerima hadiah yang disampaikan oleh Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Hadir sama, Pengarah Landskap MBI, Meor Abdullah Zaidi Meor Razali.

Pertandingan inovasi ini menampilkan penyertaan dari PBT yang memperlihatkan pelbagai inovasi yang bertujuan menyampaikan perkhidmatan yang lebih efisien dalam membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid 19.

Eze3@mbi adalah inovasi inventori pokok teduhan bagi seluruh kawasan MBI yang menggunakan peranti mudah alih ataupun telefon pintar.

Terdahulu, Inovasi Eze3@mbi turut memenangi anugerah kategori hakcipta dengan pingat perak bagi Anugerah Harta Intelek dan Anugerah Hijau, Malaysia Landscape Architecture Award.

Sistem ini dibangunkan secara dalaman dan telah mendapat hakcipta intelek dan dijual kepada beberapa PBT dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Ianya akan disebarluas penggunaannya kepada warga kota untuk sebarang aduan pokok, perintah pemeliharaan pokok dan kajian khusus berkaitan flora di sekitar Bandaraya Ipoh.

Pembangunan inovasi ini dilihat mampu meningkatkan perkhidmatan kepada warga kota melalui pengkalan data pokok teduhan serta penyelenggaraan pokok yang lebih terancang.