TAIPING - Kerajaan Negeri menekankan aspek memperkukuhkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat setempat dalam meningkatkan nilai tambah sektor pelancongan serta membuka peluang dan ruang keterlibatan dalam bidang keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, prestasi Taiping sebagai destinasi pelancongan amat memberangsangkan malahan laporan terkini menunjukkan sejak peralihan Fasa Pemulihan ke-4, Zoo Taiping dan Night Safari telah mencatatkan kehadiran 200,000 pengunjung.

"Inilah petanda yang baik bagi pemulihan ekonomi dan saya percaya ianya akan berterusan selagi kita mengamalkan SOP asas untuk memastikan kita dapat menghentikan penularan wabak Covid-19.

"Pada masa ini untuk mendapat penginapan hujung minggu juga bukanlah mudah," katanya ketika berucap merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Warisan Bandar Taiping kali ke-5 bagi Rancangan Pemajuan Negeri Perak di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir ;Timbalan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Mohd Faidzal Hamzah dan Pengarah PLANMalaysia@Perak Asni Mustafa.

Nolee berkata, Taiping merupakan Pusat Separa Wilayah dan berfungsi sebagai Bandar Warisan, dikenali dengan jolokan nama 'Yang Pertama di Tanah Melayu' serta menyimpan khazanahnya yang tersendiri.

Katanya, terdapat tiga destinasi yang masih kekal dengan kehijaun semulajadinya ialah Bukit Larut, Zoo Taiping dan Taman Tasik DiRaja Taiping berusia 130 tahun menjadi antara tarikan pelancong ke bandar tersebut.

Kepelbagaian produk pelancongan, kawasan kebudayaan dan sejarah serrta aktiviti-aktiviti bandar yang akan dinaiktaraf antara faktor untuk generasi muda terus menetap dan meneruskan kehidupan seterusnya memiliki hartanah di Taiping.

Jelas beliau, kemudahan sistem perhubungan yang efisien melalui Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Perkhidmatan KTM ETS akan melonjakkan lagi Kluster Pelancongan Taiping - Kuala Sepetang.