Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands masih ditutup
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 662
IPOH – Pengguna di negeri ini yang ingin ke kawasan tanah tinggi Cameron Highlands masih perlu melalui Jalan Tapah – Cameron Highlands sebagai laluan alternatif berikutan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands di sini masih ditutup untuk semua jenis kenderaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dalam satu kenyataan memberitahu, ini kerana pemeriksaan semasa yang dijalankan mendapati kejadian kegagalan cerun masih berlaku akibat hujan lebat yang berterusan.
Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan pakar juga mendapati jalan tersebut masih belum selamat untuk dilalui.
“Merujuk kepada pemeriksaan oleh Cawangan Pakar JKR, keadaan cerun masih belum selamat untuk dilalui oleh kenderaan sehingga kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah dijalankan sepenuhnya.
“Notis penutupan ini disambung bermula 10 Disember sehingga pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” ujar kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, pengguna jalanraya diingatkan untuk mematuhi arahan papan tanda keselamatan di tapak selain disaran merancang waktu perjalanan.
Laluan berkenaan ditutup sebelum ini sejak insiden tanah runtuh pada 2 Disember lalu kira-kira pukul 1.44 petang itu yang menyebakan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard dan lori ikan tertimbus melibatkan pemandu kedua-dua kenderaan meninggal dunia.