IPOH- “Kalaulah tiada bantuan ini, pastinya kami akan memakai semula baju sekolah yang lusuh dan koyak”, keluh Siti Hajar Mat Said, 15, salah seorang penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darulssalam Kampung Melayu Sungai Rapat.

Siti Hajar, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Rapat Setia merakamkan ribuan terima kasih kepada Mimbar Nusantara Holding Sdn Bhd, Maydin dan Kelab Sukan Kebajikan Media Perak (KSKMP) kerana sikap keprihatinan terhadap sumbangan yang dihulurkan.

“Sememangnya kami sangat berharap kelengkapan sekolah yang baru. Sekiranya tiada sumbangan ini, kami terpaksalah menggunakan pakaian lama sementara menunggu sumbangan dari orang ramai”, katanya yang mewakili 50 orang anak yatim ketika ditemui di pasaraya Mydin, Meru pada 28 Desember lalu.

Pengarah Urusan Mimbar Nusantara, Nazrin Chong Abdullah berkata sejumlah RM150 diperuntukkan kepada setiap anak-anak yatim. Mereka masing-masing menerima dua pasang baju dan seluar uniform sekolah, tiga pasang stokin serta sepasang kasut. Sementara itu  pihak Pasaraya Mydin Meru Raya pula menyumbangkan beg sekolah.

“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lalu. Pada musim pembukaan sekolah ini, kita memfokuksan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam.

“Pengerusi KSKMP telah menyuarakan kepada saya tentang kesulitan yang dihadapai oleh anak-anak yatim ini dan menyentuh hati saya untuk tampil menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Mimbar Nusantara merupakan syarikat pemaju perumahan mampu milik yang berada di kawasan Kampar, Batu Gajah, Gopeng, Chemor serta beberapa lokasi lain di Perak.

Sementara itu Pengerusi  KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali berkata pihak pengurusan rumah anak yatim tersebut telah memohon bantuan dari pelbagai agensi swasta, NGO dan kerajaan, namum tidak mendapat perhatian.

“Saya menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Mimbar Nusantara dan Mydin Meru Raya di atas sikap yang prihatin dan telah menceriakan anak-anak yatim ini.

“Saya berharap akan muncul lebih banyak lagi agensi-agensi swasta, kerajaan dan NGO untuk bekerjasama dengan KSKMP dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik pada masa hadapan”, katanya.