IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menguatkuasakan penjagaan dan pemeliharaan di Tasik Cermin di sini ekoran tindakan tidak bertanggungjawab seorang individu yang melakukan aksi terjun ke dalam tasik itu, yang mana videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @Md. Daud berkata, insiden itu bagaimanapun masih dalam siasatan.

"Sebagai makluman semua, Tasik cermin ini adalah di bawah Geopark Lembah Kinta jadi kawasan ini tidak boleh (terjun) sewenang-wenangnya.

“Saya dah minta MBI untuk buat penguatkuasaan. Minggu hadapan kita akan lantik satu pasukan untuk jaga dan kena pelihara, kalau tidak nanti status Geopark Lembah Kinta akan ditarik," katanya ketika diminta mengulas insiden tersebut.

“Kita akan ambil tindakan dan akan semak tindakan yang sesuai dikenakan ke atas individu tersebut,” katanya.

Rumaizi berkata Tasik Cermin adalah salah satu produk pelancongan yang terletak di bawah Geopark Lembah Kinta.

Tegasnya, masyarakat harus sedar mengenai penjagaan alam sedia ada demi generasi masa hadapan.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video yang dimuat naik pemilik akaun bernama Syafiruzafiza di aplikasi Tiktok memaparkan seorang lelaki disyaki terjun ke Tasik Cermin.

Video berdurasi kira-kira 15 saat itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik yang menjadi tumpuan pelancong di Ipoh.