PARIT - Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga” begitulah nasib Zahari Mohamed Noh, 58, yang menderita lumpuh selama 15 tahun namun telah disahkan positif Covid-19 sehingga mengakibatkan komplikasi pada organ dalaman.

Pengawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Syahrizal Azmi berkata sumbangan yang dihulurkan selain dari meringankan bebanan, ia juga sebagai penghargaan kepada Zahari yang telah berkhidmat bersama MBI selama 25 tahun.

“Kami dimaklumkan Oktober lalu, Zahari telah positif dijangkiti Covid-19 dan dia bagaimanapun telah sembuh namun mengalami kompilaksi serius melibatkan buah pinggang dan hati dijangkiti kuman.

“Beliau lumpuh sebelah anggota badan sebelah kanan sejak diserang 'minor stroke' pada tahun 2006 dan kini diuruskan oleh anak perempuanya.

“Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin bersetuju menyumbangkan sebuah katil untuk keselesaan dan memudahkan rawatannya seharian,” katanya sewaktu menziarahi Zahari di rumahnya, baru-baru ini.

Sementara itu, anak kepada Zahari, Nursheril Aniss Zahari, 30, berkata ayahnya kini hanya bergantung kepada pengambilan susu setiap empat jam sekali sebagai sumber makanan seharian.

“Ayah menerima pencen ilat sebanyak RM1,000 sebulan, namun ia tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan keseluruhan memandangkan setiap bulan ayah memerlukan susu Ensure Gold Vanilla sebanyak enam hingga tujuh tin dan harga satu tin susu ialah RM87.

“Selain kos susu, saya juga harus memastikan lampin pakai buang (pampers) serta tisu basah dan lain-lain lagi. Ayah juga harus membuat rawatan susulan setiap dua minggu sekali di Hospital Besar Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Batu Gajah.

“Saya seorang suri rumah, mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah. Suami saya bekerja di sebuah syarikat swasta dan berpendapatan kecil. Pendapatan kami hanya cukup-cukup sahaja, tinggal pun di rumah kampung dengan kadar sewa RM100 sebulan.

“Saya mengalu-alukan sebarang bantuan bagi meringankan dan memudahkan urusan perubatan ayah saya dan saya sekeluarga dahulukan ucapan ribuan terima kasih kepada yang bermurah hati membantu meringankan bebanan kami,” katanya.

Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah turut meyumbangan wang saku dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman juga menyumbangan susu Ensure, lampin dewasa dan barangan makanan,

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun bank : Maybank 108010493718, Zahari Mohamed Noh atau boleh datang terus ke rumahnya di alamat Jalan Dato Bakri Rais, Kampung Dusun Hilir, 32800 Layang-Layang Kiri, Parit, Perak.