IPOH - Pelancong yang ingin ke Cameron Highland melalui Jalan Simpang Pulai, di sini boleh berbuat demikian apabila laluan tersebut mulai dibuka pada 17 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, Laluan Seksyen 27, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highland kini selamat digunakan setelah ditutup sejak 2 Disember lalu, susulan insiden tanah runtuh.

Bagaimanapun beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati dan berwaspada ketika menggunakan laluan berkenaan.

"Buat sementara ini konsesi sedang membersihkan jalan dalam masa dua hari, termasuk pembinaan longkang di tepi jalan untuk aliran air.

"InshaAllah kalau tiada halangan Jumaat ini orang ramai boleh menggunakan jalan tersebut, Simpang Pulai ke Cameron dan Cameron ke Simpang Pulai.

"Semua kenderaan boleh menggunakan jalan tersebut, tetapi saya nasihatkan supaya pengguna jalan raya ketika menggunakan jalan itu kerana sepanjang jalan itu ada banyak bukit dan cerun," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini laluan tersebut yang sebelum ini ditutup sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.

Sebelum ini pengguna jalan raya menggunakan laluan Cameron Highlands-Tapah yang telah dibuka sebagai laluan alternatif.

Terdahulu, media melaporkan hujan berterusan sejak dua minggu lalu dikenalpasti menjadi punca kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada 2 Disember lalu.

Kejadian tanah runtuh itu turut meragut dua nyawa.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, pemandu lori sayur dan pemandu Alphard, Tan Chee Heng.