IPOH – Seorang juruteknik dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah taman tema air di sini pada kira-kira jam 12.45 tengahari, kelmarin

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, mangsa ditemukan terjatuh ke dalam air dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakan sekerjanya.

“Kemalangan berlaku melibatkan seorang pekerja lelaki, warganegara tempatan yang berusia 25 tahun.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa telah bekerja selama empat tahun sebagai seorang juruteknik di taman teman air itu.

“Semasa kejadian mangsa sedang menjalankan kerja menyelenggara lampu ‘sportlight’ berhampiran salah satu kawasan kolam mandi di taman tema air tersebut yang sering tidak berfungsi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 1.48 tengahari pada hari yang sama,” kata beliau.

Susulan itu daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu sehingga tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak majikan.

“Satu notis larangan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja penyelenggaraan peralatan elektrik,” katanya lagi

Tegas beliau, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja,” ujarnya. 

Supian berkata, majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Tambahnya, ini adalah bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

Katanya, kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).