Ipoh- Pangkor Sea Challenge 2021 yang bakal diadakan pada 30 dan 31 Disember ini, bakal disertai seramai 130 orang peserta bagi merebut hadiah bernilai hampir RM10,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata penganjuran acara sukan air kayak endurance ini, bertujuan merancakkan kembali industri pelancongan yang sekian lama tergendala kesan dari pandemik COVID-19.

"Sukan air yang akan diadakan di pantai Pasir Bogak Pangkor ini, akan disertai oleh peserta dari Persatuan Kayak Negeri, kelab-kelab kayak, beberapa universiti awam  Malaysia dan penggiat-penggiat aktiviti kayak.

"Tourism Perak turut menyumbangkan baucer pelancongan kepada para pemenang sebagai 'value added' kepada hadiah kemenangan yang disediakan.

"Kita juga telah mengenal pasti sebanyak 80 acara lain untuk dimasukkan kedalam kalendar acara pelancongan negeri untuk tahun 2022. Usaha ini diharapkan dapat memeriahkan semula sektor pelancongan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi Negeri Perak," katanya dalam sidang media di pejabatnya semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa; Pengurus Besar Tourism Perak, Zuraida Md Taib dan Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel & Resort Pangkor (PPHRP), Mohd Zamzuri Suid.

Pada masa yang sama, Pengerusi PPHRP, Mohd Zamzuri berkata, setakat 15 Disember 2021 pihak penganjur telah menerima pengesahan sebanyak 60 penyertaan dan dijangka akan meningkat pada masa yang terdekat.

"Acara sukan air kayak ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Men Kayak Endurance Single menawarkan hadiah johan RM400.00 , Women Kayak Endurance Single (RM400.00), Men Kayak Endurance Double (RM800.00), Women Kayak Endurance Double (RM800.00), dan Mix Kayak Endurance Double (RM800.00).

"Setiap penyertaan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM200.00 termasuk pakej penginapan dua hari satu malam dan RM100.00 bagi peserta yang hanya ingin memasuki pertandingan sahaja," katanya.