IPOH – Agensi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLCs) telah menyumbang kepada keberhasilan ekonomi Perak dalam bentuk sumbangan kewangan dan pelaksanaan inisiatif bagi membantu rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehingga kini, terdapat lima GLCs yang memberi sumbangan kepada hasil negeri dengan jumlah diterima sebanyakRM40.15 juta.

Menurut beliau, antaranya ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang menyumbang RM17 juta, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) (RM5 juta), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) (RM3 juta), Lembaga Air Perak (LAP) (RM15 juta) dan Digital Perak Corporations Holding (DPCH) (RM150,000).

“Selain daripada itu, pada tahun ini PPPNP telah berupaya menghasilkan sebanyak RM22 juta, manakala MB Inc. menghasilkan sebanyak RM50 juta dalam bentuk royalti bahan batu bagi tahun 2019 hingga tahun 2021.

“Sementara itu pula, LAP menyumbang RM25 juta bagi tahun 2021 bayaran royalti air mentah,” ujarnya semasa membuat Penggulungan Ucapan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Selain itu kata Saarani, terdapat juga sumbangan secara langsung kepada rakyat melalui inisiatif-inisiatif bagi merancakkan sektor pertanian dan usahawan serta program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Sebagai contoh, PPPNP telah melancarkan program Pertanian Bandar dengan jumlah keluasan sekitar 7.47 ekar serta melibatkan 6,540 peserta.

“Selain itu, pembangunan hub halal daging Perak juga dapat melonjakkan pengeluaran daging lembu di negeri Perak,” ujar beliau.

Jelas Menteri Besar, usahawan-usahawan di negeri Perak juga mendapat sokongan GLCs seperti PPPNP, Yayasan Perak, Yayasan Bina Upaya melalui program-program pembangunan usahawan yang menyediakan geran, pinjaman tanpa faedah, kursus, serta program pemantapan usahawan di negeri Perak.