IPOH - Sebanyak 520 tong sampah disediakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sekitar bandaraya ini bagi memudahkan pengunjung khususnya sekali gus membudayakan amalan kebersihan.

Sebahagian daripada tong sampah berkenaan akan diletakkan di kawasan tumpuan pelancong seperti di laluan Jejak Warisan Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, program membudayakan amalan penggunaan tong sampah dalam kalangan wargakota Ipoh bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih.

Menurutnya, ini akan membantu MBI mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat yang merupakan matlamat kerajaan yang telah dilaksanakan oleh MBI.

"Masyarakat perlu dididik untuk berubah ke arah membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

"Saya berharap melalui program ini, wargakota Ipoh dapat menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai suatu budaya seawal dari rumah lagi dan seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan," ujarnya.

Beliau berkata demikian Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di kalangan wargakota Ipoh, di Dataran Warisan Dato' Sagor pagi tadi.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Pengarah Kanan-Teknikal MBI, Khairul Anuar Lodin.

Menurut Rumaizi, program berkenaan melibatkan kos sebanyak RM300,000.

Katanya, tong-tong sampah dengan rekaan berkonsepkan low carbon dan smart city itu akan ditempatkan secara berperingkat-peringkat sehingga selesai pada Februari depan.