IPOH - Warga bandar Ipoh diingatkan agar tidak membuang sampah sarap ke dalam longkang kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan aliran air tersumbat seterusnya mengakibatkan banjir kilat.

Malah, sikap tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang musibah pada penduduk setempat apabila kawasan kejiranan dinaiki air.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, walaupun pembersihan longkang dibuat bagi memastikan aliran air lancar sekiranya hujan lebat berterusan, namun kerjasama warga bandar Ipoh juga dituntut.

Kata beliau, pembersihan longkang itu penting kerana dalam beberapa kejadian banjir kilat ia disebabkan aliran yang tersekat kerana sampah sarap.

"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakukan pemantauan berterusan pada longkang khususnya di kawasan perumahan agar tiada sampah sarap bagi mengelak banjir kilat.

"Jadi, kerjasama swarga bandar Ipoh diperlukan untuk kita sama-sama mengambil berat dalam isu banjir kilat ini disebabkan sampah," ujarnya.

Beliau ditemui semasa melihat kerja-kerja pembersihan sampah haram di Hala Pegoh 27 dekat RPT Pengkalan Pegoh Seberang di sini.

Menurut Rumaizi, petugas MBI telah pun mula menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang tersebut sejak dua minggu lalu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh.

Katanya, pada masa ini keadaan baik dan terkawal kerana pemantauan ini turut dilakukan bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Mengikut keadaan semasa longkang dan sistem perparitan di Ipoh mampu menampung melainkan jika longkang tersumbat.

"Bagaimana pun, sekiranya hujan terlalu lebat dengan kadar bacaan sehingga 300 mililiter (mm) kita bimbang longkang tidak mampu menampung air yang banyak," ujar beliau.