TAIPING - Program Insentif Cukai Taksiran 2022 (PICT 2022) diteruskan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pembayar cukai.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, PICT 2022 tetap mengekalkan dua kategori cabutan iaitu secara atas talian dan kaunter.

“Kita masih mengekalkan hadiah cabutan bertuah iaitu Kategori A: Bayaran secara atas talian manakala Kategori B: Bayaran melalui Kaunter MPT dengan tawaran hadiah menarik kepada pembayar cukai taksiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Komuniti Hijau 2021 & Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Program Insentif Cukai Taksiran 2021 di Wisma Perbandaran Taiping, pada Isnin.

Menurutnya, PICT 2021 yang bermula pada 1 Januari sehingga 28 Februari lalu, MPT buat pertama kalinya mewujudkan dua kategori hadiah cabutan bertuah iaitu bagi bayaran secara atas talian dan di kaunter.

Pada majlis itu turut disenaraikan 11 penerima cabutan bertuah yang mana hadiah bonanza dimenangi oleh Rosli Othman dari Taman Yayasan Kamunting dengan membawa pulang hadiah motosikal jenama Modenas.

“Hadiah yang ditawarkan adalah dua buah motorsikal serta hadiah saguhati iaitu barangan elektrik seperti television (2 unit), ketuhar gelombang mikro (6 unit), periuk nasi elektrik (6 unit), pengisar cili (10 unit), kipas berdiri (2 unit) dan pembakar roti elektrik (5 unit).

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Perbandaran, Kamaruzzaman Kamari ; Pengarah Penilaian dan Harta, Khairul Anwar Mad Nor @ Hashim; Pengarah Perancang dan Pembangunan Bandar, Syahrulnizam Baharom dan Ketua Bahagian Landskap, Mior Rosli Abdullah.

Khairul Amir berkata, MPT telah melaksanakan semakan dan bayaran Bil Cukai Taksiran secara dalam talian bermula penggal kedua tahun 2020.

Katanya lagi, hadiah yang disediakan itu adalah sebagai penghargaan kepada semua pemilik pegangan di bawah pentadbiran MPT yang telah menjelaskan bayaran cukai taksiran mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menyemak transaksi bayaran Bil Cukai Taksiran boleh melayari sistem e-Bayar di laman portal ebayar.mptaiping.gov.my atau aplikasi mudah alih myMPT.

Selain itu, semakan dan transaksi bayaran ‘Bil Cukai Taksiran’ dan ‘Bil Sewaan’ juga boleh dibuat melalui sistem PBTPay oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di laman portal www.pbtpay.kpkt.gov.my.