IPOH - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan cuaca di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia bertambah baik.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memberitahu, ia susulan lekukan tropika di sekitar kawasan itu yang menunjukkan tanda-tanda lemah.

"Lekukan tropika di sekitar utara Semenanjung telah melemah dan hujan dijangka akan lenyap sepenuhnya.

"Keadaan cuaca di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak dijangka bertambah baik," kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, MetMalaysia menamatkan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan buat negeri-negeri terlibat itu pada pukul 6.45 pagi hari ini.

Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan semasa berkenaan cuaca terkini negara boleh mendapatkan maklumat di laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi MetMalaysia.