IPOH - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ingin mengingatkan pemandu yang sedang dalam perjalanan ke arah utara untuk memandu dengan berhati hati.

Ini berikutan penutupan sementara lorong kanan di antara Kilometer (KM) 273.3 dan KM272.2 di laluan antara Persimpangan Ipoh Selatan dan Ipoh Utara di Lebuhraya Utara Selatan.

PLUS dalam satu kenyataan memberitahu, penutupan tersebut bagi membolehkan kerja-kerja penyelengaraan segera dilaksanakan berikutan penemuan lubang benam pagi ini.

Menurut kenyataan itu, pasukan PLUS Ronda mengesan lubang benam pada pukul 7.44 pagi dan bertindak menutup lorong buat sementara waktu demi keselamatan pelanggan lebuh raya.

"Pada masa ini hanya satu lubang benam dikesan dan PLUS akan terus memantau kawasan sekitar sebagai langkah keselamatan.

"Pelanggan lebuh raya dinasihatkan untuk memandu dengan berhati-hati dan mengikuti semua papan tanda amaran lalu lintas di kawasan tersebut," ujar kenyataan tersebut.

Lorong kiri di laluan akan dibuka sepenuhnya selepas kerja kerja penyelenggaraan selesai dan disahkan selamat untuk kegunaan pelanggan lebuh raya.

Untuk maklumat terkini mengenai perkembangan trafik di laluan yang terjejas, sila rujuk @PLUSTrafik Twitter, aplikasi PLUS Mobile dan papan tanda elektronik PLUS di lokasi strategik di sepanjang lebuh raya.