Bayi Comel Selamat Jalani Pembedahan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 981
KUALA LUMPUR - Bayi comel, Fareena Shahmina, 10 bulan, dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), 3 Jun lalu.
Melalui status di laman sosial bapanya, Faidzal Shahril, 40, berkata, tempoh pembedahan anaknya hanya mengambil masa dua jam tidak sepertimana jangkaan awalnya iaitu empat jam.
"Menurut doktor, proses pembedahan berjalan lancar dan tidak memerlukan sebarang peralatan sokongan pada jantungnya.
"Pada hari kedua, Fareena menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Namun terdapat sedikit komplikasi di bahagian saluran tekak dan paru-paru. Bagaimanapun, jururawat memaklumkan, komplikasi itu tidak membahayakan dan itu adalah masalah biasa", katanya.
Kisah Fareena Shahmina yang mengalami jantung berlubang telah disiarkan di laman sesawang Peraktastic pada 30 Mei lalu, telah mendapat perhatian pembaca malah ada dalam kalangan mereka yang turut menghulurkan bantuan.
Bayi comel ini juga mengalami down syndrome sejak lahir dan memerlukan dana bagi menjalani pembedahan segera.
Menurut Faidzal, sehingga hari ketiga, keadaan kesihatan anak bongsunya itu semakin memberangsangkan.
"Dia nampak semakin sihat dan ceria sewaktu saya melawatnya tadi. Jururawat siap buat dua ikatan tocang lagi...comel sungguh!
"Tapi buat masa ini saya tidak dibenarkan mengambil gambar sebab dia masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kardiologi Pediatrik (PCICU).
"Keadaannya semakin baik, cuma buat masa ini dia masih dikekalkan di PCICU sebab paru-paru dia masih ada kahak.
"Terima kasih kepada yang mendoakan kami khasnya untuk anak saya. Berkat doa anda semua segalanya dipermudahkan ALLAH SWT. InshaALLAH saya akan laporkan perkembangan terkini anak saya dari semasa ke semasa,"katanya.