KUALA KANGSAR - Kesempitan hidup menyebabkan 10 sekeluarga terpaksa tinggal dalam keadaan sempit dan tidak selesa di sebuah rumah di Kampung Gapis, Padang Rengas, di sini.

Menurut Abdul Rahman Hassan, 50, dia tinggal bersama isteri Rosmiza Idris, 43, ayahnya Hassan Said, 74, serta empat anak perempuan dan tiga anak lelaki berusia antara 12 bulan hingga 21 tahun. 

Tinjauan mendapati, rumah berkenaan hanya mempunyai satu bilik tidur dan satu bilik air menyebabkan penghuni rumah terpaksa berhimpit selepas ruang tamu terpaksa dijadikan bilik.

Keadaan rumah berkenaan yang sebahagiannya bertiangkan buluh, kelihatan uzur dengan bumbung bocor menyebabkannya sering dimasuki air jika hujan lebat. 

"Asalnya ini adalah rumah pusaka keluarga ayah. Selepas berkahwin saya tinggal di sini. 

"Saya hanya bekerja kampung, manakala isteri mengambil upah mengajar mengaji Al-Quran. Walaupun pendapatan kami tidak seberapa, saya dan isteri berusaha untuk membaik pulih rumah ini.

"Namun, niat hati untuk memberi keselesaan pada ayah dan anak-anak terhenti akibat masalah kewangan," katanya yang juga anak tunggal.

Rahman berkata, dia mengakui keadaan sekarang memang tidak selesa, mungkin kerana sudah terbiasa mereka boleh menyesuaikan diri dalam situasi itu. 

"Setiap hari saya fikir, anak-anak perempuan saya dah besar, dan mereka perlu bilik kerana tidak manis jika tinggal di ruang tamu. 

"Saya juga pernah membuat permohonan rumah baru namun permohonan itu gagal,"jelasnya. 

Kepayahan hidup keluarga terbabit disaksikan sendiri Exco Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Haron, Pengawai Pejabat Menteri Besar, Adun Lubuk Merbau, Dr Jurij Jalaluddin serta jabatan kerajaan terbabit, ketika berkunjung ke teratak keluarga berkenaan. 

Melihat kepada kedaifan hidup keluarga berkenaan, Mohd Zolkafly berkata, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan pembinaan rumah baru untuk keluarga terbabit menerusi projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM50,000 serta berkerjasama dengan agensi berkaitan untuk membaik pulih rumah yang sediakan untuk ayahnya. 

Sementara itu, nasib keluarga berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Kangsar yang tampil meluluskan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM450 sebulan, yang akan dibayar mulai 20 Jun ini.

Keluarga ini turut diberikan bantuan segera RM300 bagi membeli barangan dapur.