KAMPUNG GAJAH - Sebanyak RM1.67 juta bantuan disalurkan melalui suntikan modal pinjaman perniagaan termasuk diskaun sewaan premis perniagaan MARA melibatkan 44 orang usahawan sepanjang tahun lalu.

Program MARA Cakna Usahawan 2022 ini merupakan inisiatif perkongsian pintar antara Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah dengan MARA di Daerah Perak Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, usahawan terutama golongan wanita dilihat telah memainkan peranan sebagai tunjang ekonomi negara.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah ini, justeru mereka menjadi peemangkin pertumbuhan perniagaan sama ada secara kecil-kecilan mahupun di peringkat yang lebih tinggi.

"Kita sekarang sudah berganjak ke satu fenomena dan era baru di mana pasca Covid-19 melanda dunia, kebanyakan perniagaan hampir 90 peratus dijalankan secara atas talian.

"Secara asasnya, kesemua perniagaan masa kini boleh dikembangkan melalui secara atas talian dengan hanya menggunakan telefon bimbit sahaja," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program MARA Cakna Usahawan 2022 di Pusat Khidmat DUN Kampung Gajah baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pegawai MARA Daerah Perak Tengah, Kzuzaifah Azreen Zan, Pengerusi Persatuan Usahawan Arked Mara Kg Gajah serta Penghulu Mukim Kg Gajah.

Ujarnya lagi, peserta yang hadir pada hari ini terbukti sebagai seorang usahawan yang mahu mempelajari sesuatu, mahu hadir dan menerima apa jua nasihat daripada pihak MARA serta mahu berkongsi masalah serta pengalaman dalam perniagaan.

Sementara itu, Wan Norashikin turut berkelapangan menziarah masyarakat melalui Program Ziarah Prihatin Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyampaikan bantuan.

Antara yang disampaikan ialah bantuan seperti kerusi roda, katil pesakit serta alat pendengaran ke empat lokasi di Taman Felcra Jaya, Changkat Lada, Felcra Changkat Lada dan Pasir Garam.