IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak melaksanakan walkabout di Pasar Besar, Ipoh bagi memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

SHMKM sebelum ini yang telah dilanjutkan sehingga 4 Februari 2022 berdasarkan maklum balas pengguna yang diterima dan sebagai langkah berterusan untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, kementerian telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan SHMKM ini yang telah berkuatkuasa pada 01 Januari 2022 selama 35 hari.

“Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Skim ini adalah sama iaitu melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas dari kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran," ujarnya.

Terdapat empat jenis barangan yang terlibat dengan pelarasan harga dalam SHMKM iaitu ayam, telur ayam, sawi dan kacang panjang untuk lokasi-lokasi terpilih.

Pelarasan harga ini dibuat adalah berdasarkan kepada situasi dan faktor-faktor tertentu bagi menjamin kestabilan harga dan bekalan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, sepanjang tahun 2021 sebanyak 80,987 pemeriksaan premis telah dilakukan di seluruh negeri Perak oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP melibatkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM766,144.16.

Manakala nilai denda dan kutipan kompaun masing –masing berjumlah RM548,224.00 dan RM532,170.00.

Katanya, sebanyak 74 kes di bawah Akta 342 telah dihasilkan yang melibatkan nilai kompaun terkumpul sebanyak RM220,500.00.

"Sepanjang tahun 2021 juga, sebanyak 193 kes tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) Cawangan Negeri Perak telah difailkan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 kes adalah melibatkan barangan dan 103 kes melibatkan perkhidmatan.

"Pada hari ini juga, KPDNHEP Perak ada membuka Kaunter Timbang Pengguna bagi kegunaan orang ramai yang ingin membuat perbandingan timbangan atau membuat aduan dan pertanyaan terus kepada pegawai yang bertugas di kaunter," ujarnya.