KAMUNTING - Seorang lelaki melecur pada bahagian kaki, tangan dan muka dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah motosikal di Taman Kamunting di sini petang tadi.

Kejadian pada pukul 2.30 petang itu menyebabkan sebuah motosikal jenis Modenas musnah 80 peratus.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.40 petang.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting telah dikerah ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Semasa bomba tiba, terdapat seorang mangsa iaitu lelaki Melayu berumur lingkungan 35 tahun.

"Kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum pihak bomba tiba di lokasi," ujar jurucakap tersebut.

Anggota EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya menghantar dia ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Elias Ramli itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.14 petang