KAMPUNG GAJAH - Sebanyak RM11 juta pendapatan dijangka dapat dihasilkan apabila Pasar Tani Kekal (PTK) Kampung Gajah di sini mula beroperasi pada Mac nanti.

PTK yang menelan kos RM2.6 juta itu menempatkan 91 unit iaitu 14 unit lot basah dan 70 unit lot kering serta tujuh unit medan selera.

Ini merupakan satu lagi inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengurangkan peranan orang tengah dalam memasarkan produk tani.

Pengerusi FAMA, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata, melalui jualan terus itu, usahawan dapat menghapuskan orang tengah yang selama ini mendapat keuntungan sekitar 20 hingga 30 peratus.

"Selain itu, peniaga juga disaran mengambil bekalan terus dari ladang supaya dapat menjual pada harga lebih rendah.

"Kira-kira 90 peratus peniaga di PTK ini adalah dari daerah Perak Tengah dengan perpindahan keseluruhan peserta dari Pasar Awam Kampung Gajah ke PTK tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Program My Rakyat dan Pasar Tani Kekal (PTK) Kampung Gajah di sini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri.

Selain Kampung Gajah, terdapat dua lagi PTK di negeri ini iaitu di Manjung dan Lekir yang telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

Manakala PTK Kuala Kangsar yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023.

Dalam pada itu kata Mohd. Fasiah, FAMA memberi jaminan harga barangan jualan termasuk ayam di pasar tani adalah berpatutan dan tidak akan membebankan pengguna.

Katanya, bagi bekalan ayam misalnya peniaga disarankan mengambil bekalan terus dari ladang supaya dapat menjual pada harga lebih rendah.

"Memang dari segi kawalan harga ini di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Cumanya barang-barang yang dijual di pasar tani dijual lebih rendah sepertimana mengikut tujuan pasar tani diwujudkan," ujarnya.