IPOH- Kerajaan negeri menerusi Tourism Perak berharap sempena pembukaan semula Kinta Riverwalk bakal menarik lebih ramai kunjungan pelancongan ke bandaraya Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammad Radzi berkata untuk tahun 2022 sasaran 6 juta pelancongan ke negeri Perak mampu dicapai memandangkan sektor pelancongan kembali rancak walaupun masih lagi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pembangunan Kinta Riverwalk adalah kesinambungan Ipoh Heritage Trail bagi mewujudkan tarikan pelancongan ke pusat bandaraya yang dikenali sebagai Segitiga Pelancongan Bandaraya Ipoh.

Kawasan ini menjadi pelengkap kepada perancangan Kawasan Pelancongan Pekan Lama seperti digariskan di dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan Ipoh Walkable City serta Rancangan Tempatan Ipoh 2035.

Kinta Riverwalk sebelum ini sememangnya terkenal dengan keindahan lampu neon yang memukau pandanagan. Pastinya ia akan kembali meriahkan dengan bukan sektor pelancongan di bandaraya Ipoh, malah mampu menjana ekonomi peniaga-peniaga kecil,” katanya dalam sidang sempena selepas Majlis Pelancaran Kinta Riverwalk, malam tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud; Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri A.Hasan; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh, Mahader Ahmad Mohd Ayob dan Setiausaha MBI, Ahmad Munir Ishak.

Pembangunan Kinta Riverwalk terbahagi kepada tiga lokasi tiga lokasi iaitu dihadapan Hotel Kinta Riverfront bermula dari Jambatan Jalan Raja Musa Aziz sehingga Jambatan Jalan Lim Bo Seng sepanjang 1,600 meter dibiayai melalui peruntukan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM3 juta.

Sementara itu berdekatan Restoran Hadramout pula, bermula dari Jambatan Lim Bo Seng sehingga ke Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sepanjang 195 meter akan dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500 ribu.

Berdekatan kawasan Pekan Lama bermula dari Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sehingga ke Lorong Hale sepanjang 280 meter akan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM500 ribu.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud turut berkata, selain ikon perniagaan yang berkonsepkan Hipster, Heritage & Health (3H), Kinta Riverwalk juga menonjolkan tiga buah jambatan ikonik yang mana dua daripadanya berkonsepkan ‘Glow In The Dark’ atau bercahaya dalam gelap.

“Untuk memastikan kebersihan persekitaran terutamanya sungai, MBI telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan.

Kita juga akan memperindahkan lagi pencahayaan persekitaran Kinta Riverwalk, namun ia akan dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya.