IPOH – Sebuah kedai memproses dan menjual kacang putih popular di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.08 pagi Ahad.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik bomba tiba, api sedang marak membakar sebuah kedai memproses dan menjual kacang putih.

"Kebakaran turut menyebabkan sebuah rumah dua tingkat yang terletak bersebelahan musnah 30 peratus selain sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dan van Nissan Vanette terbakar.

"Anggota membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos 200 kaki dan tiga pancutan bersumberkan air pili bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” kata jurucakap tersebut.

Operasi pemadaman turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Meru Raya, BBP Pasir Puteh dan Jentera Tangki Air BBP Simpang Pulai serta pasukan bomba sukarela.

Bagaimana pun, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Khairuddin Hussin tamat pukul 4.15 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian juga masih dalam siasatan.