SUNGAI SIPUT - Prihatin dengan keperitan dan kesulitan yang dihadapi keluarga kanak-kanak pesakit kanser mata dan paru-paru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tampil hulur sumbangan barangan keperluan.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Syahrizal Azmi mewakili Datuk Bandar Ipoh bersama Pegawai Perhubungan Awam MPKK mewakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zunainah Zulkifli bersama-sama pasukan penggerak Program MBI Prihatin telah mengadakan lawatan ke kediaman keluarga Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi, 5, pada Khamis.

“Sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban keluarga beliau dalam membiayai perubatan adik ini yang terpaksa berulang ke Hospital Kuala Lumpur, setiap minggu,” kata Syahrizal.

Beliau berkata, MBI telah mengambil inisiatif mewujudkan Program MBI Prihatin  sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hadir sama,  Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman dan Penolong Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Ooi Kean Hock telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan makanan

Pihak MBI telah menyumbangkan  susu formula dan  lampin pakai buang bernilai RM1,000 manakala  barangan keperluan harian bernilai RM400, sumbangan Pasaraya Econsave) di Taman Kledang, di sini. 

Nur Mardhiah yang ditemani ibunya, Nur Natasya Rashid, 26 serta bapa tirinya, Muhammad Iqmal Ramli, 26, terharu dengan barangan yang di terimanya.

"Belum pernah ada barangan sebanyak ini di rumah kami sebelum ini. Adakalanya kami terputus bekalan dapur kerana wang hasil perniagaan jualan rendang dan kerepek terpaksa digunakan untuk kos pengangkutan ke Kuala Lumpur," kata Nur Natasya sebak.  

Semenatara itu, menurut Syahrizal, Program MBI Prihatin telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi membantu meringankan beban penduduk, peniaga, anggota dan mantan anggota MBI dalam meneruskan kehidupan mereka yang terkesan dalam situasi pandemik Covid-19.

Perbelanjaan tersebut dibiayai oleh MBI bersama rakan strategik seperti pasar raya Econsave selain beberapa penaja lain.

“Semoga program MBI Prihatin akan terus menjadi platform MBI untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera,” ujarnya.