SUNGAI SIPUT - Bukan niat meminta-minta mahupun merayu bantuan lantaran tulang empat kerat serta tenaga pasangan muda ini masih mampu berusaha untuk mencari rezeki buat anak-anak mereka, namun apakan daya, dugaan dan ujian adakalanya melelahkan.

Kesulitan yang ditempuh oleh pasangan Nur Natasya Rashid, 26 dan suami, Muhammad Iqmal Ramli, 26, ini dilalui sejak tahun 2017 apabila anak ketiga mereka, Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi, 5, disahkan menghidap kanser paru-paru dan mata.

"Ketika dimaklumkan tentang penyakitnya itu, Nur Madhiah baru berusia tiga bulan. Sejak itu pelbagai rawatan termasuk pembedahan dijalankan ke atasnya,” tutur ibu muda itu ketika ditemui Peraktastic di kediaman yang disewa mereka di Taman Kledang di, sini pada Khamis.

Nur Natasya yang berpindah ke Perak dari Kajang sejak perkahwinan keduanya dengan Muhammad Iqmal yang berasal dari Ipoh , cekal mengharungi ujian itu bersama-sama.

“Suami saya juga terpaksa berhenti kerja kerana kerap mengambil cuti apabila perlu membawa Nur Mardhiah ke unit rawatan kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” tambahnya.

Muhammad Iqmal yang dulunya berkerja secara kontrak, kini menjalankan kerja sebagai ‘Runner’ dan adakalanya membuat jualan rendang dan kerepek sebagai menampung perbelanjaan sekeluarga.

Kata Nur Natasya, pendapatan diperolehi hasil jualan dan kerja sebagai “runner” sekitar RM800 sebulan.

“Sewa rumah ini sahaja pun RM450, belanja anak-anak lain lagi, makan dan minum selain kos perjalanan ke HKL.

“Mujur Mardhiah dalam kategori Orang Kelainan Upaya, kos rawatan hospital juga ditanggung kerajaan. Cuma sekarang ni, alat bantuan pendengaran terpaksa dibeli di luar (farmasi) dengan anggaran kosnya RM1,500.00 ,” jelasnya.

Sesekali menahan sebak tatkala menceritakan penderitaan anak ketiganya itu, dia turut mempunyai anak berusia, 7 dan 6 tahun daripada perkhawinan terdahulu manakala bersama Muhammad Iqmal dia mempunyai seorang anak berusia 6 bulan.

Anaknya yang sulung masih belum didaftarkan bersekolah kerana faktor kewangan.

Katanya, permohonan bantuan daripada pelbagai agensi dan jabatan berkaitan sudah pun dihantar namun sehingga kini masih belum ada pihak yang tampil meluluskan.

"Malahan ada yang ditolak, seolah-olah kami tidak layak," jelasnya. 

Tambahnya, rumah yang mereka sewa itu adalah atas ihsan seseorang yang enggan dikenali dan orang itu jugalah katanya yang membayar wang pendahuluan ketika masuk menyewa di situ.

Sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Meru, Ipoh tetapi setelah suaminya tidak lagi berkerja, pasangan ini mengambil keputusan berpindah ke sini.

Dalam pada itu, katanya Nur Mardhiah sudahpun menjalani lebih 20 pembedahan sejak disahkan menderita kanser mata dan paru-paru yang mana ia kini sudah pun merebak ke telinga pula.

Sungguhpun pasrah dan redha dengan penjelasan pakar perubatan, katanya jika benar anaknya sudah tidak boleh lagi dirawat di negara ini, dia memohon jika ada pakar-pakar perubatan luar negara yang sudi merawat Nur Mardhiah biarpun ia agak mustahil untuk menanggung perbelanjaan tersebut.

Justeru, sekiranya ada sekelumit ihsan untuk membantu keluarga ini dari segi perbelanjaan harian mereka, orang ramai boleh terus menghubungi talian 013-8752749 (Nur Natasya) atau sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank : 7634138054.