IPOH - Ketibaan sambutan Tahun Baru Cina pada kali ini dengan zodiak harimau membawa makna tersendiri pada taman tema Lost World Of Tambun (LWOT) apabila menampilkan dua ekor harimau baharu kepada pengunjung.

Dua ekor haiwan liar tersebut bernama Jewel berusia 13 tahun dan Dana, jantan (lapan tahun) itu dipinjamkan dari Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, ia merupakan jalinan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Perak bagi memastikan populasi Harimau Malaya tidak pupus.

Menurut beliau, dengan kehadiran dua harimau itu menjadikan jumlah habitat liar tersebut yang ada di taman tema kini berjumlah empat ekor.

Katanya, harimau tersebut dipinjamkan secara jangka panjang tanpa tempoh tertentu dengan syarat hendaklah dijaga dengan baik sepertimana mengikut syarat yang ditetapkan Perhilitan.

"Kerjasama ini sebenarnya sama sepertimana kerjasama yang dilaksanakan oleh Perhilitan dengan zoo-zoo tempatan.

"Sejak ditempatkan, Jewel dan Dana nampaknya serasi dengan dua harimau sedia ada iaitu Jazz dan Charlie yang ditempatkan di Tiger Valley.

"LWOT mula memiliki dua ekor harimau sejak tahun 2004, malah kita turut mempunyai kumpulan penjaga dan vaterinar untuk menjaga kebajikan harimau-harimau ini dengan baik," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melancarkan Sambutan Reunion Tahun Baru Cina di LWOT di sini hari ini.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Kanan Perhilitan Perak, Nor Hani Abd Samat.

Tambah Nurul Nuzairi, kerjasama LWOT dan Perhilitan juga dapat membantu pihak berkuasa tersebut dalam penjagaan hidupan liar apabila kosnya dibiayai oleh pihak taman tema berkenaan.

Sementara itu, Nor Hani Abd Samat berkata, LWOT sebagai lokasi tumpuan pengunjung merupakan tempat yang baik selain dapat menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan hidupan liar.

Selain itu katanya, penempatan dua ekor harimau itu dapat menjadi tarikan kepada pengunjung untuk mengenali hidupan liar itu dengan lebih dekat.

"Kedua-dua ekor harimau ini merupakan habitat yang kita tangkap di Johor sebelum diletakkan di pusat konservasi untuk penjagaan.

"Kita nampak tadi dua ekor harimau tersebut serasi dengan dua ekor harimau sedia ada.

"Dengan kemampuan LWOT, dua hidupan liar itu mendapat makanan dan penjagaan yang bagus selain dapat membantu pembiakkan," ujarnya.