Ipoh- “Sumbangan ini memberi erti besar kepada saya terutamanya sewaktu krisis pendemik di mana harga barangan semakin tinggi sekaligus memberi impak kepada perbelanjaan seharian,” kata Anuar Mohd Nasir , 56, dengan nada lega dan gembira.

Beliau merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertugas di Bahagian Pentadbiran Khidmat Pengurusan, mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan MBI, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud yang sentiasa peka terhadpat kakitangan yang memerlukan.

“Sumbangan ini setidak-tidaknya mengurangkan kos perbelanjaan kami sekeluarga dan memberi semangat kepada anak saya untuk memulakan semula persekolahannya,” ujarnya.

Sementara itu, Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, turut berkata program MBI Prihatin Kembali Ke Sekolah ini melibatkan seramai 150 anggota MBI kategori B40. Sumbangan itu di bawah pembiayaan Puncak Emas Infra Sdn.Bhd (PEISB) yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah.

“MBI telah mengambil inisiatif mewujudkan Program MBI Prihatin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk makluman, lebih RM1 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan beban penduduk, peniaga, anggota dan mantan anggota MBI dalam meneruskan kehidupan mereka yang terkesan dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya sempena Program Back to School bawah MBI Prihatin di Kedai Canggih, Ampang Baru, Ipoh pagi tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Puncak Emas Infra Sdn.Bhd (PEISB), Ir. Dr. Mohd Nor Rashidi Abd. Jalil dan Pengarah Urusan Canggih Sutera Sdn. Bhd., Rozamir Zulkifli.